Daerah Bota, Perak Rupa-Rupanya Berasal Dari Mitos Gergasi Yang Pernah Hidup Di Perak….

Bota merupakan sejenis makhluk yang dipercayai serupa dengan manusia tetapi tubuh badannya jauh lebih besar dan lebih tinggi seperti gergasi. Raksasa Bota ini dikatakan mempunyai gigi taring atau siung. Bota cukup terkenal sehingga namanya digunakan sebagai nama sebuah kawasan di Perak.

Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, Bota adalah makhluk besar dan hodoh yang menjelma dari dalam tanah. Nama kawasan ini dinamakan sebagai Bota bersempena dengan gergasi Bota yang dikatakan wujud di sini pada suatu masa dahulu.

Bota ialah sejenis makhluk gergasi besar yang hidup dalam tanah, menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah. Bota akan keluar daripada tempat persembunyiannya pada waktu-waktu tertentu sahaja dan amat meminati kanak-kanak yang tidak memakai seluar. Disebabkan itu, kanak-kanak di kawasan ini sering ditakutkan dengan cerita gergasi Bota tersebut.

Kebanyakan masa gergasi Bota sering dihabiskan di dalam tanah dan jarang dilihat oleh manusia. Menurut cerita orang-orang lama di kawasan ini, badan gergasi Bota ini menyerupai warna tanah itu sendiri. Tempat kesukaan gergasi Bota termasuklah kawasan berlumpur, di tepi rimbunan buluh kuning dan di tepi sawah padi di mana ikan puyu biasa ditemui.

Makanannya gergasi Bota boleh didapati di dalam tanah dan sesekali gergasi Bota akan keluar mencari makanan dalam bentuk daging tidak kira sama ada daging manusia atau haiwan. Daging manusia dan haiwan bukanlah makanan kegemaran gergasi Bota kerana ia hanya keluar sesekali sahaja terutamanya pada waktu lewat petang.

Selalunya kehilangan seseorang penduduk setempat akan dikaitkan dengan gergasi Bota ini. Jika seseorang penduduk didapati hilang, mereka percaya bahawa Bota yang bertanggungjawab terhadap kehilangan tersebut dan penduduk terbabit telah melanggar pantang-larang. Bilangan gergasi Bota ini tidak banyak tapi anehnya ia boleh berada di mana-mana sahaja terutama sekali di kawasan Sungai Perak.

Begitulah sedikit sebanyak mengenai mitos tentang gergasi Bota di Perak. Cerita ini tidak dapat ditentukan kesahihannya kerana ianya hanyalah cerita rakyat yang diperturunkan dari generasi ke generasi melalui penceritaan lisan sahaja.

Sumber: Forum CARI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *